GOMBAK, 28 Oktober- Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian (ONSA) akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Jelas beliau, RUU berkenaan bertujuan untuk memastikan bahawa internet termasuk platform media sosial menjadi lebih selamat untuk semua pengguna di negara ini.
Ia juga akan mendorong penyedia platform media sosial untuk mengambil tindakan proaktif, bukan hanya bertindak berdasarkan aduan atau laporan pengguna sahaja.
"RUU ini menekankan bukan sahaja aspek moderasi, seperti larangan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang, tetapi juga aspek kurasi. Ini bermaksud platform-platform media sosial mempunyai tanggungjawab atau "duty of care" untuk memastikan kandungan-kandungan terbabit tidak mempunyai tempat dalam negara kita," katanya.
Fahmi ditemui pemberita selepas menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada dua veteran media beragama Hindu sempena sambutan Deepavali melalui Tabung Kasih@Hawana di sini hari ini.
Mereka ialah bekas wartawan akhbar Tamil Malar, Saraspathy Ramasamy dan bekas pembaca pruf akhbar Tamil Nesan, Batemaly Sellamberam yang merupakan antara 164 rakan media yang mendapat manfaat daripada tabung itu sejak ia diperkenalkan pada April 2023.