Rundingan TH bantu kekang tekanan kos tiket haji langkah proaktif

Foto fail / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mac– Langkah Lembaga Tabung Haji (TH) memulakan rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi memastikan kos tiket bakal jemaah haji Malaysia tidak terjejas susulan konflik di Asia Barat disifatkan sebagai tindakan proaktif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan strategik membantu mengekang tekanan kos penerbangan semasa musim haji.
  • Rundingan awal membolehkan pelaksanaan langkah pencegahan terhadap kenaikan kos lebih awal.
  • Usaha proaktif memastikan bakal jemaah tidak terkejut dengan lonjakan harga dan kebajikan terpelihara.
  • Kos penerbangan masih bergantung kepada tempoh konflik geopolitik yang menjejaskan harga bahan api global.

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latif berkata, langkah itu merupakan pendekatan strategik bagi mengekang tekanan kos penerbangan ketika musim haji.

“Dengan adanya rundingan awal, sebarang kemungkinan kenaikan kos atau langkah yang perlu diambil boleh dilaksanakan lebih awal.

Ini sekali gus memastikan tidak berlaku kejutan harga yang menyebabkan bakal jemaah haji terpaksa menanggung kenaikan kos tersebut,” katanya ketika dihubungi RTM.

Menurut beliau lagi, tindakan proaktif TH itu bagi memastikan kebajikan bakal jemaah terus terpelihara.

Pada masa sama, mereka dapat menunaikan ibadah haji tanpa berdepan peningkatan kos di luar jangka

“Bagaimanapun, perkembangan kos penerbangan masih bergantung kepada tempoh konflik geopolitik di Asia Barat yang mempengaruhi harga bahan api global,” ujarnya lagi.