fb fb fb fb fb

Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia bincang isu Ambalat

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 2 Julai – Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia dijangka hujung Julai ini, memberi fokus kepada pelbagai isu dua hala, termasuk perbincangan berhubung sempadan maritim di Ambalat.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, isu Ambalat bukan perkara baharu dan telah berlarutan lebih dua dekad.

Katanya, isu itu menjadi antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan pemimpin kedua-dua negara.

"Isu berkenaan Ambalat telah lebih dua tiga dekad dan ia bukanlah suatu perkara baharu. Saya jangka ia akan menjadi perkara yang dibincangkan, tetapi Perdana Menteri menyatakan banyak perkara perlu dipertimbang termasuk isu-isu teknikal."

"Jadi kita jangkakan perbincangan hujung Julai nanti adalah sebagai permulaan dan bukan pengakhiran dalam isu tersebut," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Kali terakhir Rundingan Tahunan antara Malaysia dan Indonesia diadakan pada 2017.

Mengulas mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil bermula semalam, Datuk Fahmi berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara-negara berkenaan.

Menurutnya, lawatan tersebut turut memberi penekanan kepada aspek kerjasama ekonomi dan pelaburan, sejajar dengan komitmen Malaysia untuk meningkatkan keterlibatan di peringkat global.

“Ini adalah usaha untuk memperkukuhkan pengukuhan hubungan dua hala selain mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.

“Dijangkakan beberapa perbincangan menyentuh aspek pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat bakal diumum kelak," katanya.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI