BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Februari- Malaysia dan Brunei bersetuju meneruskan rundingan dan konsultasi untuk meneliti dan memuktamadkan cadangan projek Lebuhraya Trans Borneo yang menghubungkan kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembinaan bagi fasa satu projek berkenaan kini berada pada tahap 77 peratus, manakala fasa dua akan melibatkan Brunei menerusi dua segmen.
"Lebuhraya Trans Borneo merupakan sistem rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) dan Brunei.
"Segmen satu adalah menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei sepanjang lima kilometer, dijangka bermula pada tahun 2023.
"Segmen dua pula adalah pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas,dijangka siap dalam msa 48 bulan,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan rasminya ke Brunei.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan kedua-dua projek tersebut akan memperkemas kesalinghubungan antara Malaysia dan Brunei.
"Tuanku Baginda Seri Sultan dan saya, bersetuju kedua-dua negara meneruskan rundingan dan konsultasi untuk meneliti dan memuktamadkan cadangan projek-projek ini,”
Terdahulu, Ismail Sabri mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bagi membincangkan perkara
berkepentingan bersama dengan keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat.
Ismail Sabri berkata perbincangan dengan Sultan Brunei turut sepakat, supaya Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada 2011 di peringkat pegawai kanan, diadakan pada kadar segera.
Beliau berkata dalam tempoh 11 tahun, hanya 87.27 kilometer daripada 528.45 kilometer sempadan darat atau 17 peratus yang telah disusun dan ditanda, dan daripada jumlah itu hanya 34.15 kilometer yang telah dimuktamadkan.