JOHOR BAHRU, 17 Januari- Tiga sekeluarga maut selepas kediaman mereka di Kampung Oren dekat Ulu Tiram di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Mangsa yang terkorban adalah seorang warga emas berusia 63 tahun, anak lelakinya berusia 30 tahun dan cucu perempuannya berusia 11 tahun.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya Mohd Faiz Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 2.46 pagi. Seramai 24 anggota dan empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kebakaran itu melibatkan sebuah rumah kekal bersaiz 24x 30 kaki yang memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur bangunan terbabit.
Mohd Faiz berkata terdapat empat mangsa terperangkap dalam kebakaran tersebut namun hanya seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berjaya diselamatkan.
"Mangsa (terselamat) melecur pada bahagian muka dan tangan, diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ibrahim di Johor Bharu.
"(Manakala) tiga mangsa meninggal dunia melecur seluruh anggota badan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.