Rumah PPRT musnah dalam kebakaran di Daro

FOTO JBPM SARAWAK

DARO, 26 Mac – Sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Semop, di sini awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.39 pagi oleh Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak.
  • Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daro digerakkan segera ke lokasi.
  • Tindakan pantas berjaya halang kebakaran merebak, kira-kira 5% bahagian dapur rumah bersebelahan terjejas akibat bahang.
  • Pemilik tiada di rumah, dua wanita dan seorang lelaki dewasa berjaya menyelamatkan diri; api dikawal pada 5.20 pagi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.39 pagi.

Sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat
Daro digerakkan ke lokasi kejadian.

Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah jiran dengan hanya kira-kira lima peratus bahagian dapur rumah berhampiran terjejas akibat bahang haba.

Menurut laporan, semasa kejadian berlaku, pemilik rumah tiada di rumah kerana bekerja.

Manakala dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri ketika kejadian.

Api berjaya dikawal pada pukul 5.20 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.50 pagi.