fb fb fb fb fb

Rumah, dua kenderaan musnah terbakar di Labuan

Sebuah kenderaan mewah turut terbakar/Foto bomba

LABUAN, 24 Januari – Seorang lelaki cedera dengan luka dan melecur di tangan dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Taman Rancha-Rancha Fasa 1 di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran itu turut memusnahkan dua buah kenderaan milik penghuni yang juga kenderaan mewah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 5.16 pagi.

“Seramai 25 anggota dan pegawai bersama lima jentera dikerah ke lokasi kejadian. Pasukan kami tiba di lokasi dalam masa enam minit dan mendapati rumah jenis tidak kekal berukuran 40 x 50 kaki telah 90 peratus terbakar,” katanya dalam kenyataan.

Operasi pemadaman berjaya dikawal dalam tempoh kurang 10 minit sebelum ditamatkan sepenuhnya sekitar pukul 7 pagi.

Mangsa yang cedera telah diberi rawatan lanjut, manakala tiga penghuni lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

GRACE AISYAH KEDAYAN