SETIU, 26 Januari- Seorang Anggota Pertahanan Awam (APM) yang bertugas di daerah sini sanggup berjalan hampir empat kilometer selepas menerima video memaparkan rumahnya di Kampung Seladang roboh dilanda kepala air pada Rabu lalu.
Nor Zihan Adam, 37, berkata, dia dimaklumkan oleh suaminya Mohd Hairuzi Hamzah, 40, mengenai kejadian pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, namun tidak dapat pulang kerana sedang bertugas di lokasi banjir di Kampung Buluh.
Menceritakan detik kejadian, Mohd Hairuzi tidak menyangka kediaman mereka yang terletak 10 meter dari Sungai Seladang dibadai kepala air yang berlaku sekelip mata.
Rumah milik ibu saudaranya yang didiami mereka sejak lima tahun lalu itu rosak di beberapa bahagian utama.
"Bahagian bilik dengan dapur paling teruk sikit. Yang dekat ruang tamu (dimasuki) lumpur lebih kurang satu kaki. Sejak lima tahun, ini paling teruk.
"Perasaan sedih, nak menangis pun ada, tapi (tetapi) nak buat macam mana dah ketentuan Allah," ujar Mohd Hairuzi.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan oleh Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel Mohd Rosman Abdullah serta pegawai kanan yang ingin melihat sendiri keadaan kediaman mereka.
Ketika ini, mereka sekeluarga ditempatkan di pusat perlindungan sementara (PPS) Kampung Seladang, sementara menunggu kerja-kerja baik pulih dijalankan.