fb fb fb fb fb

Ruang udara Qatar dibuka semula, tiada rakyat Malaysia terjejas

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Tiada rakyat Malaysia terjejas susulan insiden semasa yang berlaku di Qatar.

Bagaimanapun, Kementerian Luar sentiasa memantau rapi situasi keselamatan di Qatar susulan perkembangan terbaharu di sana.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan memaklumkan kementerian itu melalui Kedutaan Besar Malaysia di Doha mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakyat Malaysia yang berdaftar.

"Kementerian bersama agensi terlibat akan terus menilai keadaan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Qatar. Kemas kini akan disediakan melalui saluran media rasmi jika perlu," menurut kenyataan itu.

"Rakyat Malaysia di Qatar dinasihat berwaspada dan mematuhi nasihat keselamatan dan segera berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Doha untuk sebarang perkembangan semasa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Besar Malaysia di Doha turut mengesahkan bahawa ruang udara Qatar telah dibuka semula.

"Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan perjalanan dinasihatkan untuk menyemak maklumat terkini mengenai status penerbangan masing-masing bagi memastikan kelancaran perjalanan.

"Mereka juga dinasihat sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa melalui sumber yang sahih serta mematuhi arahan rasmi dikeluarkan kerajaan Qatar," jelasnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan ruang udara Qatar ditutup susulan serangan peluru berpandu oleh Iran ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS ke atas tiga kemudahan nuklear Iran pada 21 Jun lalu.

NORAINI BINTI WAHIB