KUALA LUMPUR, 15 Januari- Pelaksanaan Projek Rapid Transit System Link (RTS) mampu menangani isu besar yang membelenggu Johor dan Singapura, iaitu kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen.
Penganalisis Ekonomi, Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata projek tersebut menyediakan satu sistem pengangkutan bervolum tinggi yang diharap mampu membawa penduduk kedua-dua negara dengan pantas dan cekap, sekali gus meningkatkan produktiviti pekerja, di samping membantu mengurangkan isu kesihatan fizikal dan mental.
"Kalau kita lihat di Johor dan Singapura, lebih 350,000 penduduk atau individu melalui sempadan Johor-Singapura setiap hari dan lebih 145,000 kenderaan melalui sempadan setiap hari juga. RTS Link ini memang objektif utamanya untuk membantu mengurangkan kesesakan di pusat-pusat Imigresen, anggarannya akan mengurangkan kesesakan sebanyak 15 peratus. Apabila ini berlaku ia diharap mampu meningkatkan produktiviti pekerja melalui penjimatan masa perjalanan", katanya.
Tambahnya, penyediaan infrastruktur moden dan cekap menjadi pakej lengkap dalam usaha menarik pelaburan ke dalam negara.
"Apabila selesai atau mulanya operasi RTS Link ini, sudah tentu berlakunya limpahan ekonomi. Saya melihat sektor hartanah akan mula mengalami peningkatan kerana mungkin selepas ini akan mudah untuk rakyat Singapura sebagai contoh untuk membeli bukan sahaja rumah kediaman tetapi juga melihat tanah atau pun lokasi yang sesuai untuk mereka mengembangkan perniagaan, meletakkan ibu pejabat atau pun cawangan di Malaysia supaya mereka dapat lebih menjadi kompetitif, kadar sewaan di Malaysia adalah lebih murah berbanding Singapura.
"Itu akan membantu sektor peruncitan dan kita tahu Singapura terkenal dengan sektor perkhidmatan terutaman sektor kewangan memandangkan di Johor ada Pengerang, maka sektor gas dan minyak juga mengalami peningkatan dari segi pertumbuhan dan perdagangannya nanti.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV1.