PUTRAJAYA, 9 November - Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengungguli tiga kategori acara menembak bersempena Hari Media Maritim Malaysia 2024.
Acara tersebut berlangsung di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu.
Empat peserta yang merupakan penyunting dan wartawan di Bahagian Berita Ehwal Semasa, memenangi acara jatuhan piring, menewaskan Harian Metro dalam perlawanan akhir.
Penyunting berita radio dari unit penyuntingan Bahasa Melayu, Mohd Fadli Othman muncul juara acara 'precision' media, bagi lelaki.
Penolong Pengarah Seksyen Ehwal Semasa, Wan Lukman Mohd Fisol pula johan bagi acara jatuhan piring, kategori VIP lelaki.
Pengurus Nasionalfm, Salbiah Mohd Sharif pula meraih tempat ketiga 'precision', VIP wanita.
Pemenang menerima hadiah berupa medal dan hamper, disampaikan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.