KUALA LUMPUR, 23 Januari - Dokumentari khas bertajuk “Raja Payung Negara" terbitan Radio Televisyen Televisyen Malaysia (RTM) akan disiarkan pada 30 Januari ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TVI dan RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).
Dokumentari berdurasi 30 minit ini mengangkat pelbagai kisah suka dan duka sepanjang tempoh lima tahun Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memayungi negara pada 31 Januari 2019 lalu.
"Sepanjang bersemayam di atas takhta, Baginda bukan sahaja berhadapan dengan kemelut politik negara, malah turut berdepan dengan ancaman kesihatan awam.
"Peranan dan kedudukan Agong ketika keadaan negara tidak menentu, bukan sekadar simbolik, malah menjadi ‘pelindung’ demi memelihara keamanan negara," menurut kenyataan RTM di sini hari ini.
Sisipan khas ini diterbitkan oleh Unit Majalah dan Dokumentari RTM yang mana akan memaparkan kisah penjelajahan Diraja, Kembara Kenali Borneo bukan sahaja menzahirkan manifestasi kasih rakyat kepada Raja tetapi juga keprihatinan Raja terhadap rakyat.
Ini sekali gus membawa pengertian ‘Raja dan rakyat, berpisah tiada’.
Payung kenegaraan adalah Raja Melayu; sanjungan dan penghargaan wajar dipertahan, demi keutuhan tadbir urus negara.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menamatkan pemerintahan baginda berkuat kuasa 30 Januari ini sebelum pulang ke Pahang.