KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan 10 siaran khas “Grandstand ASEAN” sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 Oktober ini.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata siaran khas itu membuktikan keupayaan dan pengalaman RTM dalam mengendalikan liputan besar berskala antarabangsa.
“Grandstand akan bermula pada 24 Oktober dan disiarkan setiap hari pada waktu pagi dan petang.
Siaran paling panjang ialah pada hari terakhir, 28 Oktober, bermula pukul 8.00 pagi hingga malam,” katanya kepada pemberita RTM di sini hari ini.
Program Grandstand ASEAN akan menampilkan tetamu daripada pelbagai bidang bagi berkongsi pandangan dan kupasan mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menurut beliau, seramai 380 petugas RTM terlibat dalam liputan tersebut, dengan 280 orang ditempatkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi utama persidangan.
“Sebahagian lagi ditempatkan di Kompleks Bunga Raya KLIA, Lapangan Terbang Subang dan beberapa lokasi lain. Semua tenaga kerja telah digerakkan dan bersedia sepenuhnya,” katanya.
Siaran khas Grandstand ASEAN akan disiarkan menerusi TV1 dan platform digital RTM Klik, bagi membolehkan penonton termasuk dari luar negara mengikuti liputan secara langsung.