KUALA LUMPUR, 10 April- Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited memperkenalkan idea dan maklumat bermanfaat.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, ia seiring perubahan semasa bagi memastikan peranannya sebagai penyiar utama kekal relevan.
Tambahnya, RTM kini harus mengorak langkah meneraju dunia penyiaran tempatan menerusi produksi berimpak tinggi termasuk penggunaan aplikasi dan teknologi baharu bagi memastikan penyampaian kandungan lebih efisien dan berkesan.
"Itu yang kita nak terbitkan sesuatu yang hebat yang boleh dieksport dan digemari ramai. Jadi, itu tujuan kita selain kita meraikan 79 tahun RTM.
Program-program yang lebih bermanfaat bukan sahaja hiburan, sukan, berita dan juga bagaimana kita gunakan dunia digital untuk menyampaikan informasi sama-sama membangunkan sebuah negara bangsa yang hebat," kata Datuk Suhaimi kepada pemberita, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, pegawai-pegawai kanan kementerian dan warga RTM.
Majlis yang berlangsung di perkarangan Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media tersebut turut diserikan dengan penajaan dari pihak Rollti dan Yayasan Peneraju.