RTM Media Terbaik hebahan peranti perubatan MDA

RTM dinobat penerima Anugerah Media Terbaik pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), hari ini. Foto RTM

PUTRAJAYA, 13 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM) dinobat sebagai penerima Anugerah Media Terbaik kategori televisyen pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM memainkan peranan signifikan menguatkan penyampaian maklumat peranti perubatan kepada rakyat melalui platform televisyen.
  • Kerjasama RTM dan MDA konsisten menyalurkan informasi tepat berimpak, meningkatkan kesedaran keselamatan, kualiti dan pematuhan peranti perubatan.
  • MDA menghargai rakan media bertanggungjawab, berintegriti; majlis turut mengiktiraf warga MDA serta BERNAMA dan BFM.

Majlis yang berlangsung di Putrajaya itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Azah Hanim Ahmad, yang turut menyampaikan anugerah kepada penerima sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen cemerlang mereka.

Penganugerahan tersebut mengiktiraf peranan signifikan RTM dalam memperkukuh penyampaian maklumat berkaitan peranti perubatan kepada rakyat.

Sepanjang berkerjasama dengan MDA, RTM konsisten dalam menyalurkan informasi tepat dan berimpak melalui pelbagai platform televisyen.

Usaha itu sekali gus membantu meningkatkan kesedaran awam terhadap aspek keselamatan, kualiti serta pematuhan peranti perubatan, di samping memperluas capaian maklumat MDA kepada masyarakat.

Menurut MDA, pengiktirafan itu mencerminkan penghargaan terhadap rakan media strategik yang komited dalam menyampaikan maklumat secara bertanggungjawab dan berintegriti.

“MDA percaya kolaborasi erat bersama media seperti RTM akan terus diperkukuh bagi memastikan maklumat berkaitan peranti perubatan dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Dalam majlis sama, seramai 11 warga MDA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 10 lagi menerima Anugerah Kecemerlangan MDA sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan dedikasi mereka.

Selain RTM, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) turut menerima Anugerah Media bagi kategori akhbar, manakala BFM bagi kategori radio.