fb fb fb fb fb

RTM komited tambah baik bentuk promosi iklan

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

PASIR PUTEH, 19 November- Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) komited dalam menambah baik bentuk promosi bagi menarik lebih ramai pengiklan di stesen berkenaan.
 
Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata perkara itu mampu dicapai dengan merancang pelbagai program dan rancangan yang baru bagi tahun 2024.
 
Beliau berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan rakan strategik yang ingin membina jenama menerusi kandungan di televisyen, radio dan digital.
 
“Kalau mereka membeli iklan maksudnya disini kita boleh letakkan di tv, radio dan digital kerana ramai yang sekarang ni penonton kita di digital juga jadi penambahbaikan itu bukan sahaja dengan program baharu tetapi juga kualiti program kita pertingkatkan juga," kata Suhaimi kepada pemberita ketika ditemui di Program Meet and Greet KELANTANfm, di sini.
 
Mengulas lanjut, Datuk Suhaimi berkata memahami kehendak dan keperluan pelanggan (pengiklan) adalah penting dalam usaha mencapai sasaran yang lebih tinggi pada tahun hadapan.
 
Dalam pada itu, sebanyak 23 syarikat di Kelantan melihat RTM merupakan antara platform terbaik dalam mempromosikan produk mereka.
  
“Kita nak meniaga ini, kita tidak boleh kata satu iklan kita langsung berjaya. Mana boleh, kena berterusan. Saya sudah 11 tahun memasuki bidang pengiklanan, setiap hari tidak berhenti di Terengganu dan Kelantan. Semua saya cuba khususnya RTM lah," kata Hasmah Mohamad, pemilik HZ Anugerah Sdn Bhd.
 
“Kita boleh lihat apabila kita buat iklan dengan RTM, jenama kita akan lagi gah dan lagi besar.

Sebenarnya, keberkesanan daripada sudut jualan dan pemasaran itu memang kita akui meningkat daripada semasa ke semasa," kata Mohd Basri Faris Ibrahim, Pengasas Aggresive Transasia Group Holding Sdn Bhd.

“Kesetiaan saya bersama RTM, hampir 10 tahun. Ini adalah kerana produk saya yang nombor satu mendapat sambutan. Kedua, jenama saya semakin meluas," kata Mohd Faizul Rohban Ahmad, Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM