KUALA LUMPUR, 23 Mac-Buat julung kalinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerbitkan video pesanan khidmat masyarakat (PSA) sempena Aidilfitri 2025 menggunakan kecerdasan buatan (AI).
RTM dalam kenyataannya memaklumkan, inisiatif tersebut selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar penggunaan AI diperluas, khususnya dalam industri penyiaran.
Video berdurasi 1 minit 26 saat itu menampilkan avatar AI Berita RTM, Aaron Lim (Berita Mandarin) dan Che Rita (BES+), yang menyampaikan pesanan berkaitan persiapan pulang ke kampung, keselamatan jalan raya, dan amalan pemakanan sihat semasa perayaan.
Video berkenaan telah mula disiarkan pada 22 Mac di semua saluran TV dan platform media sosial RTM bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri.
RTM sebelum ini telah menggunakan teknologi AI dalam penerbitan Berita Mandarin sejak 17 Februari, diikuti kandungan mikro BES+ seminggu kemudian.