
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Dokumentari khas bersempena ulang tahun ke-80 Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan perjalanan sejarah penyiar awam itu sejak 1946 hingga ke era digital, dengan menghimpunkan naratif kepimpinan Ketua Pengarah terdahulu serta kisah yang belum pernah didedahkan kepada umum.
- Cabaran merangkum perjalanan panjang dalam tempoh 30 minit siaran.
- Enam bekas Ketua Pengarah berkongsi pengalaman dengan sokongan semua kakitangan terlibat.
- Dokumentari menonjolkan peranan RTM sebagai penyimpan khazanah negara dan suara rakyat.
- Memaparkan evolusi dari era klasik ke digital termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan.
Penerbit Dokumentari, Sharul Bahat berkata, antara cabaran utama adalah merangkumkan perjalanan 80 tahun dalam tempoh 30 minit siaran.
Menurut beliau, seramai enam bekas Ketua Pengarah dihimpunkan bagi berkongsi pengalaman dengan sokongan semua kakitangan yang terlibat.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Majalah dan Dokumentari RTM, Wan Lukman Mohamed Fisol berkata, dokumentari tersebut disiapkan dalam tempoh kira-kira sebulan.
Dokumentari berkenaan memfokuskan peranan RTM sebagai penyimpan khazanah negara dan suara rakyat sejak 1946 hingga ke era digital.
“Peredaran zaman daripada klasik ke digital turut dipaparkan termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sekali gus menunjukkan evolusi RTM dari dahulu hingga kini,” katanya.
Dalam pada itu, penulis skrip, Julie Jamaluddin berkata, penulisan dokumentari menyeimbangkan fakta sejarah dan elemen emosi bagi memastikan penyampaian lebih menarik.
Menurutnya, dokumentari tersebut turut memaparkan perspektif bekas kepimpinan RTM yang berdepan cabaran berbeza mengikut era, selain menggambarkan bagaimana organisasi itu bergerak selari dengan perubahan negara.
“Dokumentari ini membantu rakyat memahami perkembangan RTM dari segi pentadbiran, cabaran serta visi yang berbeza, namun tetap menyatukan rakyat Malaysia,” katanya.
Dokumentari khas itu turut menampilkan bahan arkib serta pelbagai peristiwa penting yang membentuk peranan penyiar awam sebagai medium maklumat, pendidikan dan perpaduan negara.
Rancangan tersebut disiarkan pada 1 April 2026, pada pukul 9 malam di TV1.