JOHOL, 5 Jun-Kerja-kerja ukur tanah dan penyiasatan tanah bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jelai, sedang giat dilaksana di sepanjang jajaran Sungai Jelai.
Pengarah JPS Negeri Sembilan, Ir. Ts. Abd. Hakim Hamzah berkata, tarikh milik tanah projek RTB Sungai Jelai telah bermula pada 22 Januari 2024 dan dijangka akan tamat pada 21 Januari 2029.
Jelasnya, dengan terlaksana projek tersebut ia dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan 'Hotspot' banjir iaitu di Rumah Rakyat Kampung Johol, Kampung Orang Asli Carik, Kampung Orang Asli Kelapi dan Jalan Tampin Karak, Kuala Johol.
"Peringkat di dalam pelaksanaannya ialah pada peringkat reka bentuk awalan pada 12 Jun ini kontraktor akan membentangkan kepada kita cadangan rekabentuk dan apabila dipersetujui maka reka bentuk terperinci akan dimulakan dan mengambil masa enam bulan jika ada pengambilan balik tanah akan diselesaikan dahulu jika kawasan tidak terlibat pengambilan balik tanah pembinaan akan dimulakan secara serentak", katanya demikian ketika ditemui RTM di sini.
Terdahulu, lima projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Negeri Sembilan diluluskan Kerajaan Persekutuan dan akan dilaksanakan bermula hujung tahun 2023 serta awal tahun 2024, sekali gus akan dapat mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan.
Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun dilaporkan berkata, ia membabitkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Pedas, Rembau, RTB Sungai Raya dan RTB Sungai Solok di Port Dickson, RTB Sungai Jelai, Kuala Pilah dan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Linggi, Fasa Lima dari Rantau ke Ampangan di Seremban.