
KUALA TERENGGANU, 21 Januari – Pelaksanaan semula peperiksaan di peringkat sekolah rendah menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dilihat langkah penting dalam mengembalikan fungsi sebenar sistem penilaian pendidikan negara.
- Peperiksaan awal sekolah rendah melalui RPN dianggap penting untuk menilai kemampuan murid secara lebih berstruktur.
- Ibu bapa menyokong penilaian awal sebagai penanda aras untuk kenal pasti jurang pembelajaran dan keperluan intervensi.
- RPN dilihat mengembalikan roh sistem pendidikan dan meningkatkan kualiti pelajar sebelum ke peringkat menengah.
Tinjauan mendapati, majoriti ibu bapa menyambut baik pembaharuan tersebut, yang dianggap mampu membantu mengenal pasti tahap keupayaan murid secara lebih berstruktur sejak peringkat awal persekolahan.
Seorang penjawat awam, Alias Mat Amin berkata, inisiatif kerajaan itu wajar dilaksanakan.
“Peperiksaan penting khususnya bagi kemasukan pelajar di Tahap 1 dan Tahap 2 sekolah rendah serta peringkat menengah,” katanya.
Sementara itu, Wan Iylia Shahira Abd Aziz berpendapat, penilaian berstruktur mampu membantu murid menjadi lebih berdikari.
“Malah mereka lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran, bergantung kepada keupayaan serta potensi individu masing-masing,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Nurul Syaiimaa Norjala, yang menyifatkan peperiksaan sebagai kaedah penting untuk ibu bapa memahami hala tuju dan tahap keupayaan akademik anak-anak.
“Sebelum ini tak ada peperiksaan jadi ibu bapa susah nak tetapkan target ke mana hala tuju kemampuan pembelajaran anak-anak,” katanya.
Ibu bapa juga menyifatkan penilaian pembelajaran seawal Tahun Empat dilihat sebagai penanda aras bagi mengenal pasti tahap pencapaian murid, jurang pembelajaran serta keperluan intervensi awal.
Sementara itu, pembaharuan melibatkan pendidikan awal kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun disifatkan sebagai fasa pembentukan kemahiran sosial dan sahsiah serta bukan tekanan akademik
Pengembalian semula peperiksaan dalam bentuk baharu dan lebih awal juga bagi memastikan murid sekolah rendah dinilai sebelum melangkah ke peringkat menengah.
Pensyarah Pendidikan, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Omar Ali Siafussin Wan Ismail berkata, langkah itu mampu mengembalikan roh dan jiwa sistem pendidikan.
“Ini sekali gus meningkatkan kualiti pelajar sebelum melangkah ke sekolah menengah, khususnya sekolah berasrama penuh,” katanya.
Tambahnya lagi, RPN 2026–2035 disifatkan satu gelombang dan fenomena positif bagi menjamin kualiti pelajar dan hala tuju pendidikan negara.