RPN 2026-2035: Tingkat martabat, perkasa pendidikan negara – Pakar Akademik

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Januari Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026 hingga 2035 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, disifatkan sebagai pelan jangka panjang yang holistik dan komprehensif bagi memperkasa sistem pendidikan negara secara menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • RPN 2026-2035 dianggap pelan jangka panjang holistik memperkasakan sistem pendidikan negara dari prasekolah hingga pendidikan tinggi.
  • Gabungan kementerian dan idea kedua-duanya meningkatkan martabat serta memperkasakan pendidikan secara menyeluruh.
  • Peluang pengajian percuma untuk pelajar OKU membuka akses lebih luas ke pendidikan tinggi.
  • Penempatan prauniversiti di bawah KPT memudahkan penyelarasan penilaian dan penetapan piawaian yang lebih jelas.

Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Akademik dan Pengijazahan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Mohd Fadhzil Zainol, pelan selama 10 tahun itu dilihat mampu menambahbaik sistem di peringkat prasekolah hingga ke pendidikan tinggi.

“Jika kita melihat pelan strategik sebelum ini, ia biasanya dibangunkan atau dilaksanakan secara berasingan. Rancangan Pendidikan Negara (RPN) ini pula unik kerana ia menggabungkan kedua-dua kementerian serta idea mereka, bagi membantu meningkatkan martabat dan memperkasakan pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Kota Media, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan yang memberi peluang kepada pelajar golongan orang kurang upaya (OKU) mengikuti pengajian di universiti awam secara percuma.

Katanya, ini sekali gus membuka lebih banyak peluang akses pendidikan tinggi kepada golongan berkenaan.

Sementara itu, berkenaan pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti, beliau menyifatkan pelaksanaan itu sebagai langkah strategik dan bijak.

“Jika kita lihat rubrik penilaian pelajar STPM dan pelajar asasi, sebelum ini mereka berada dalam saluran yang sama tetapi mempunyai rubrik dan kriteria penilaian yang berbeza.

“Dengan penempatan mereka di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), ia akan memudahkan pegawai serta pihak kementerian untuk menyelaraskan penilaian dan menetapkan piawaian yang lebih jelas,” jelasnya.

Beliau juga berpendapat penambahan kuota pelajar merupakan langkah tepat bagi memastikan pelajar cemerlang tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian.

“Kita sedia maklum ramai pelajar yang cemerlang, kita perlu beri mereka sokongan kerana pendidikan merupakan salah satu cara utama untuk membantu mereka mengubah nasib dan masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau akui peningkatan kemasukan pelajar ke universiti awam turut membawa cabaran dari segi kapasiti infrastruktur, kemudahan penginapan serta keperluan penjawatan pensyarah, yang perlu ditangani secara berperingkat dan berhemah.