RPN 2026-2035 perkasa sistem pendidikan inklusif

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Sistem pendidikan negara terus diperkukuh melalui pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 bagi menangani keciciran pelajar serta merapatkan jurang akses pendidikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • RPN 2026–2035 dirangka inklusif dan holistik merangkumi ekosistem pendidikan dari sekolah hingga institusi pengajian tinggi.
  • Matlamat RPN ialah menangani keciciran pelajar dan merapatkan jurang akses pendidikan.
  • Penekanan kepada TVET, latihan vokasional dan pengintegrasian teknologi dalam sistem pendidikan.
  • Kerajaan memperuntukkan dana termasuk RM100 juta untuk penambahbaikan bilik guru dan prasarana pendidikan.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham berkata, RPN dirangka secara inklusif dan holistik, merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan daripada peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, pelaksanaannya berupaya menyokong mobiliti sosial yang lebih sejahtera menjelang 2035.

“Selain bantuan kepada pelajar melalui inisiatif seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan turut memperuntukkan RM100 juta bagi penambahbaikan bilik guru dan prasarana pendidikan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Tambah beliau, pendekatan itu menunjukkan pembangunan modal insan dan pengukuhan institusi pendidikan dilihat sebagai pelaburan strategik negara.

RPN turut memberi penekanan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan vokasional serta pengintegrasian teknologi dalam sistem pendidikan.

“Kita tidak boleh menafikan kepentingan teknologi kerana perubahan teknologi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perlu diasimilasikan dalam sistem pendidikan,” katanya.

RPN dilancarkan pada 20 Januari lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membina sistem pendidikan yang berkualiti tinggi, inklusif dan berdaya saing.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan