
ALOR SETAR, 21 Januari – Semua pihak terutama ibu bapa diminta supaya tidak panik dan bimbang dengan pembaharuan sistem pendidikan melalui pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2030 yang diluncurkan semalam.
- Pelaksanaan RPN bermula secara pilihan, berdasarkan tahap kesediaan kanak-kanak dan sokongan KPM melalui ujian diagnostik.
- KPM telah merancang fasiliti dan jumlah guru mencukupi untuk menampung keperluan semasa.
- Pembinaan bangunan sekolah guna Sistem Binaan Berindustri untuk penjimatan masa dan kos, siap dalam tiga bulan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengambil kira pelbagai faktor, pandangan dan idea serta merangka mekanisme terbaik sebelum RPN tersebut dilaksanakan.
“Disebabkan itu, pelaksanaan ini dimulakan tanpa paksaan. Ia bersifat pilihan, namun bukan kebebasan mutlak kepada ibu bapa. Keputusan tersebut mesti berdasarkan tahap kesediaan kanak-kanak, dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui ujian diagnostik.
“Tujuan ujian ini adalah untuk mengenal pasti tahap kesediaan psikologi, emosi dan kemahiran kanak-kanak, termasuk sama ada mereka mampu mengikuti pembelajaran di Tahun Satu dengan persediaan yang mencukupi. Justeru, pelaksanaan ini dibuat secara sukarela,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan juga telah menyediakan perancangan berkaitan fasiliti dan jumlah guru yang mencukupi bagi menampung keperluan semasa.
Malah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan kos yang lebih jimat dan cepat serta boleh disiapkan dalam tempoh tiga bulan juga akan digunakan bagi membina bangunan baharu di sekolah tertentu yang mempunyai jumlah pelajar yang ramai.
Katanya lagi, Kementerian Pendidikan akan turun padang bertemu para ibu bapa dan waris bagi memberi kefahaman yang lebih jelas dan terperinci berkaitan pelaksanaan RPN 2026-2030.
Fadhlina bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Farabi, Kompleks Pendidikan Negeri Kedah di Alor Setar.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat.