fb fb fb fb fb

Roslan Awang Chik meninggal dunia

Allahyarham Datuk Roslan Awang Chik

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos- Bekas Ahli Dewan Negara Datuk Roslan Awang Chik, 73 tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat angin ahmar pada pukul 2.51 pagi tadi di sisi keluarga.

Anak sulung allahyarham, Fadhlan Roslan, 44 tahun berkata, jenazah allahyarham dibawa pulang ke kediaman mereka di Batu Buruk dan telah disolatkan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim selepas solat zohor.

Hampir 100 ahli keluarga serta rakan hadir memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham.

Allahyarham juga menghidap kanser limfoma sejak dua tahun lalu dan menjalani rawatan kimoterapi di HSNZ. 

"Sebab masa dia (allahyarham) diserang sakit, kita tidak tahu ada strok. Masa nak ke tandas, baru perasan yang cara dia bercakap kita pun tak berapa jelas, cuma kita boleh agak.

"Masa ke tandas, dia rebah. Itu pun selepas dua minggu kimoterapi. Sebelum ni boleh bawa kereta," katanya kepada pemberita di sini.

Roslan pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang selama satu penggal dari 1995 hingga 1999, dan juga dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bermula 2004 hingga 2010.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Datin Faizah Mohamad dan lima anak.

Selain itu, allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI