
KUALA LUMPUR, 10 April – Orang ramai dilihat bersikap terbuka terhadap cadangan pelarasan harga RON95 daripada RM1.99 kepada RM2.05 seliter, selagi subsidi terus diberikan dan pelaksanaannya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
- Cadangan antarabangsa itu diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat kerana situasi konflik global.
- Ramai berpendapat kenaikan boleh diterima jika ia membantu kurangkan beban kewangan kerajaan.
- Rakyat mahu subsidi dikekalkan kerana tanpa subsidi kenaikan harga akan membebankan.
- Cadangan subsidi bersasar mengikut kumpulan B40 M40 T20 dianggap lebih adil oleh beberapa pihak.
Cadangan Bank Dunia itu, susulan konflik Asia Barat yang berterusan, turut menerima reaksi positif daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Seorang jurulatih boling, Azidi Ameran berkata, kenaikan tersebut masih mampu ditanggung sekiranya bertujuan mengurangkan beban kewangan kerajaan.
“Kalau ia untuk membantu kurangkan beban kerajaan, saya rasa harga RM2.05 masih boleh diterima. Lagipun sebelum ini harga minyak memang sekitar itu,” katanya.
Pekerja pentadbiran, Tengku Abdul Rahim Tengku Ismail pula menyifatkan kenaikan itu sebagai terkawal dan tidak membebankan.
“Harga naik di seluruh dunia, jadi kita kena rasional. Yang penting kenaikan itu terkawal dan tidak membebankan rakyat,” ujarnya.
Bagi usahawan, Zainal Muhammad Kholil, rakyat tidak perlu terlalu bimbang selagi subsidi masih diteruskan kerajaan.
“Selagi subsidi ada, ia masih okay. Kalau tiada subsidi, barulah kita boleh persoalkan,” katanya.
Seorang pengawal, Raja Mohd Ridha Udon pula berpandangan kenaikan enam sen itu boleh diterima buat masa ini, namun berharap kerajaan dapat menurunkannya pada masa hadapan.
Sementara itu, juruteknik, Muhammad Sharon berkata, subsidi sedia ada masih membantu rakyat, namun berharap tiada pengurangan lanjut dilakukan.
“Minyak masih murah dengan adanya subsidi, tetapi jangan kurangkan lagi kerana ia akan beri kesan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, pengurus sumber manusia, Nisha Devi Sandran mengakui kenaikan tersebut memberi kesan kepada pengguna, namun masih boleh diterima dalam situasi krisis global ketika ini.
“Memang ada kesan, tetapi dalam keadaan sekarang, ia masih boleh diterima untuk menampung situasi semasa,” jelasnya.
Bagaimanapun, terdapat juga pandangan agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme subsidi lebih bersasar mengikut tahap pendapatan rakyat.
Pengurus keselamatan siber, Julissa Razali berkata, pendekatan berdasarkan kategori B40, M40 dan T20 adalah lebih adil kerana kesan kenaikan berbeza mengikut kemampuan individu.
“Kerajaan perlu lihat kemampuan setiap kumpulan. Kesan kenaikan ini tidak sama, jadi tidak boleh pukul rata,” katanya.
Pada Khamis, Bank Dunia mencadangkan Malaysia menaikkan semula harga runcit petrol bersubsidi RON95 daripada RM1.99 kepada paras terdahulu RM2.05 seliter bagi membantu mengurangkan beban subsidi kerajaan.