fb fb fb fb fb

Rokok putih pelbagai jenama bernilai RM6 juta, dirampas JKDM

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa@Mustapha menunjukkan rokok putih pelbagai jenama bernilai RM6.38 juta disyaki diseludup, pada sidang media di sini hari ini/BERNAMA

DENGKIL, 19 November- Sebanyak 8.39 juta batang rokok putih pelbagai jenama bernilai lebih RM6 juta disyaki diseludup berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu operasi di Pelabuhan Klang, Selangor.

Operasi pada 12 November lepas melibatkan pemeriksaan ke atas enam kontena turut membawa kepada penahanan seorang ejen perkapalan warga tempatan berusia 50-an.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa@Mustapha, modus operandi penyeludupan adalah dengan mengisytiharkan barangan sebagai produk pelbagai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Di belakang pintu kontena terdapat snek dan makanan untuk menutupi rokok-rokok, yang mana kami syak ia bertujuan untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," kata Raizam kepada pemberita, hari ini.

Beliau memaklumkan rampasan tersebut bernilai hampir RM800,000 secara keseluruhan dengan anggaran cukai sebanyak RM5.61 juta.

Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Zon Bebas 30(1) Akta Zon Bebas 1990 serta Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengimport barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM