SHAH ALAM, 15 Januari- Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam tidak akan menggunakan peledak atau bom kerana ia akan memberi kesan kepada kawasan sekitar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perobohan itu akan dibuat secara manual dan akan mengambil masa yang panjang.
Namun, katanya proses itu akan dilakukan selepas urusan pengalihan sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kita sekarang tengah uruskan isu sub-stesen TNB yang sub-stesen itu membekalkan tenaga untuk kawasan Seksyen 13. Kita sedang mengubah alirannya, kalau tidak seluruh Seksyen 13 akan terkesan.
"Jadi, kita dalam pertimbangan. Kelulusan sudah diberikan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Kalau buat baharu, kita akan ambil masa lagi setahun maka kita alihkan dulu," jelas Amirudin kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024, di sini.
Sebelum ini, kerajaan negeri menghantar pelan Kebenaran Merancang (KM) bagi projek KSSA pada 15 November tahun lalu membabitkan kawasan seluas 76.08 hektar, yang dijangka siap menjelang 2026.