RMS berkenan serah sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Sabak Bernam

RMS berkenan serah sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Sabak Bernam.

SABAK BERNAM, 21 Februari – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli ke Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim di Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan sumbangan beras 100 kg dan pakaian kepada 25 anak yatim untuk Aidilfitri.
  • Yayasan Islam Darul Ehsan menganjurkan program kebajikan ini sebagai inisiatif berterusan untuk rumah asnaf berdaftar.
  • Penyumbang termasuk Perbadanan Wakaf Selangor dan PKNS membantu baik pulih surau serta pembinaan prasarana dewan.

Majlis anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) itu merupakan program kedua badan berkenaan bagi tahun ini, selepas majlis pertama di Rumah Anak-Anak Yatim Rumah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj (RAYSAAS) pada 19 Februari lalu.

Dalam majlis tersebut, Raja Muda Selangor berkenan mengurniakan sumbangan 100 kilogram beras kepada pihak asrama serta pakaian kepada 25 orang anak yatim sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan berkenaan diharap dapat menceriakan dan menyuntik semangat anak-anak dalam menyambut Syawal yang bakal tiba.

Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi merupakan antara 35 rumah kebajikan yang berdaftar di bawah YIDE.

Ditubuhkan pada tahun 1985 di atas tanah wakaf seluas empat ekar, institusi ini menyediakan perlindungan serta pendidikan kepada anak-anak yatim dan miskin sekitar daerah Sabak Bernam.

Pada tahun 1995, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pernah berangkat melawat asrama berkenaan, mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja terhadap kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.

Asrama ini diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Hayat @ Haji Abdul Latif bin Haji Syukor dan kini diterajui Ahmad Bustamam Abd Latiff bersama barisan pengurusan yang komited memastikan kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah penghuni sentiasa terpelihara.

Majlis turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Selangor, Mohammad Fahmi Ngah dan Rizam Ismail, serta Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Dalam perkembangan sama, Perbadanan Wakaf Selangor menyalurkan sumbangan sebanyak RM41,000 bagi kerja-kerja renovasi dan penambahbaikan surau termasuk penggantian permaidani, manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang RM100,000 bagi pembinaan prasarana dewan.

Datuk Haji Rizam Ismail turut membiayai kerja-kerja penurapan jalan dari laluan utama ke asrama berkenaan.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kebajikan golongan memerlukan, khususnya anak-anak yatim, agar terus berpeluang menikmati kehidupan lebih selesa dan membina masa depan yang cemerlang.