KOTA KINABALU, 31 Julai - Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut baik oleh warga akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS).
RMK13 merupakan pelan pembangunan yang bersifat inklusif serta menepati keperluan dan aspirasi pembangunan negeri Sabah.
Pengarah Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar UMS, Dr. Saizal Pinjaman, berkata RMK13 diyakini mampu membantu merapatkan jurang pembangunan antara wilayah melalui pelaburan dalam infrastruktur dan peningkatan jaringan perhubungan serantau.
“Selain itu, aspek keterhubungan (connectivity) antara Sabah dan Sarawak dengan Brunei, serta antara Sabah dengan Kalimantan, turut diberi penekanan. Inisiatif yang dicadangkan, termasuk berkaitan pembangunan tamu, pada pandangan saya sangat signifikan dalam membantu mengurangkan jurang pendapatan di negeri Sabah,” katanya.