fb fb fb fb fb

Urus banjir, RM950 juta diperuntuk kepada JPS bawah RMKe-12

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Sejumlah RM950 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengaliran Sungai (JPS) di bawah RMKe-12.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, daripada jumlah itu, RM410 juta disalurkan kepada setiap negeri untuk kerja pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir.

"JPS juga memperuntukkan sebanyak RM540 juta bawah RMKe-12 bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka bertujuan memulihara struktur-struktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara. Namun, agihan peruntukan adalah berdasarkan kepada keperluan semasa setiap negeri,"katanya.

Beliau yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjawab pertanyaan Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary mengenai peruntukan yang diberikan kepada JPS untuk mengelakkan banjir kilat.  

Sementara itu, dalam perkembangan lain Datuk Seri Fadillah memaklumkan 667 pengguna menerima manfaat bawah program Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) sejak dilancarkan pada 1 April lalu.

Menerusinya, rebat sehingga RM4,000 diberi bagi membolehkan pemasangan sistem solar yang lebih mampu milik.

Beliau berkata, kadar permohonan bawah Program Net Energy Metering, Rakyat juga turut mencatat peningkatan sejak april.

"Permohonan NEM Rakyat telah meningkat daripada kira-kira 100 permohonan sehari sebelum ini kepada 150 permohonan sehari selepas skim SolaRIS diluncurkan.

"Sejak program SolaRIS diperkenalkan pada 1 April 2024, lebih daripada 667 pengguna NEM Rakyat telah berjaya menyiapkan pemasangan sistem solar dan menerima rebat SolaRIS, dengan majoriti menerima RM4,000 setiap pengguna,"katanya.

Beliau menjawab soalan ahli parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE