fb fb fb fb fb

RM6,000 setahun untuk setiap KRT beli atau sewa premis

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami

KUALA LUMPUR, 26 Mac - Tiada peruntukan khas bagi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) untuk membeli atau menyewa premis bagi menjalankan operasi.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswathy Kandasami memaklumkan, kementerian menyediakan dan menyalurkan dana RM6,000 setahun kepada setiap KRT tujuan pengoperasian KRT dan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti KRT.  

"Kementerian tidak mempunyai sebarang peruntukan khas untuk dikongsikan dengan KRT untuk membeli atau menyewa premis selain daripada RM6,000 yang dikongsikan. Tetapi kita ada peruntukan dana untuk jalankan aktiviti KRT sekiranya mereka ingin menjalankan aktiviti.

"Kementerian memberi bantuan daripada segi dana untuk menjalankan aktiviti, bukan untuk premis atau sewa tetapi kementerian dalam proses pembinaan premis KRT dan kabin untuk tujuan operasi KRT," kata Saraswathy.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berhubung adakah kementerian bercadang memberi kemudahan bagi pengoperasian KRT susulan terdapat KRT yang hanya menumpang premis Tabika Perpaduan.
 
Berkenaan status terkini pindaan Akta Rukun Tetangga 2012, Saraswathy memaklumkan cadangan akta tersebut sedang dikemaskini dan akan dibawa ke kabinet.

Cadangan itu dijangka akan memberi fokus kepada usaha memperkasa fungsi rukun tetangga mengambil kira bidang tumpuan yang akan diberi keutamaan.

TETITIA YUSOFF