fb fb fb fb fb

RM52.8 juta saman tertunggak melibatkan kenderaan perdagangan

SHAH ALAM, 3 Oktober- Sebanyak RM52.8 juta saman tertunggak pelbagai kesalahan lalu lintas melibatkan kenderaan perdagangan masih belum dilunaskan.

Ia melibatkan 175,909 saman yang masih aktif dalam tempoh lima tahun bermula 1 Januari 2018 hingga 30 September tahun ini.

Pengarah Penguat kuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata Selangor menjadi negeri paling tinggi mempunyai saman tertunggak iaitu 61,940 saman diikuti Pahang (16,372) dan Perak (13,790).


(Pengarah Penguat kuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan)

"Mereka masih belum menyelesaikan saman-saman ini dan ia merupakan satu ketirisan kepada pematuhan. Kita hendak melihat kepada pematuhan supaya mereka menyelesaikan saman ini, seterusnya melaksanakan pemutihan kepada pemandu dan syarikat sendiri", katanya selepas meninjau pelaksanaan operasi Ops Patuh Khas fasa kedua melibatkan kenderaan komersial di Plaza Tol Kota Kemuning, Shah Alam.

Bermula 1 Oktober lalu, pelaksanaan Ops Patuh Khas Fasa Kedua melibatkan kenderaan perdagangan bermula selama sebulan di seluruh negara.

Sementara itu, menerusi Ops Patuh Khas Fasa Pertama sepanjang September lalu, sebanyak 420,334 buah motosikal telah diperiksa.

Sebanyak 135,446 notis telah dikeluarkan dengan kesalahan utama dikesan adalah tiada perlindungan insurans sebanyak 51,643 diikuti tiada lesen memandu (39,648).

JPJ turut menyita 6,567 buah motosikal yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di jalan raya.

Media Baharu