fb fb fb fb fb

RM50 juta martabat Bahasa Kebangsaan ke peringkat antarabangsa

Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan / Foto DBP

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Peruntukan sebanyak RM50 juta menerusi Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan, khususnya Bahasa Melayu, ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan berkata dana tersebut dapat memperkukuhkan program-program yang mempromosikan bahasa itu di pentas global, seperti Sayembara Deklamasi Puisi Melayu.

Katanya, program tersebut menjadi wadah penting dalam menyebarkan Bahasa Melayu di luar negara, terutamanya melalui penyertaan pelajar antarabangsa di Malaysia.

"InsyaAllah, kita akan meneruskan Sayembara pada tahun hadapan dengan penyertaan yang lebih meriah. Dengan peruntukan ini, kita akan berkongsi bersama untuk memastikan perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu diteruskan di dalam negara dan peringkat antarabangsa," katanya dalam ucapan sempena Sayembara Deklamasi Puisi Melayu Antarabangsa Ke-2 Tahun 2024, yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu.

Sayembara tersebut yang kini memasuki penganjuran kali kedua menyaksikan penyertaan daripada 11 peserta mewakili 11 negara, termasuk Palestin, Rusia, dan Jepun.

Peserta dari Malaysia, Tai Weuy Liang muncul Johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta hadiah iringan dan watikah penghargaan.

Naib Johan disandang wakil Thailand, Nusanwari Ha’ yang menerima wang tunai RM3,000 bersama hadiah iringan dan watikah penghargaan.

Sayembara dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) di mana edisi pertama diadakan pada tahun 2022.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN