
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Sejumlah RM5 juta diperuntukkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi melaksanakan usaha pemerkasaan kebolehpasaran graduan serta pencari kerja di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.
- Peruntukan RM5 juta oleh KESUMA melalui PERKESO untuk memperkasakan kebolehpasaran graduan dan pencari kerja di IPT.
- Dana turut digunakan untuk mengendalikan dan menaik taraf Pusat Eksplorasi Kerjaya MYCEC berasaskan permainan.
- MYCEC guna AI untuk menganalisis pencari kerja dan memperbaiki padanan kemahiran dengan peluang pekerjaan.
- PERKESO jalin kerjasama dengan RHB untuk luaskan akses MYFutureJobs kepada pengguna Kad Debit-i MySiswa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata peruntukan tersebut juga bagi mengendali dan menaik taraf Pusat Eksplorasi Kerjaya MYFutureJobs (MYCEC) iaitu pusat penerokaan yang meningkatkan kesedaran diri melalui penilaian personaliti berasaskan permainan.
MYCEC bertujuan membantu pencari kerja memadankan kemahiran dengan peluang pekerjaan bersesuaian memandangkan hampir 2 juta pekerja di Malaysia kini berdepan masalah ketidakpadanan kerjaya.
“Hampir dua juta rakyat Malaysia yang bekerja ketika ini berdepan isu ketidakpadanan bakat, iaitu mereka bekerja dalam sektor atau bidang yang tidak sejajar dengan kemahiran sebenar.
“Walaupun kadar pengangguran kini berada pada tahap rendah dan terbaik dalam tempoh 11 tahun, kita masih berdepan masalah ‘job mismatch’ dan ‘talent mismatch’.
“Justeru, melalui program yang dilancarkan hari ini, PERKESO mewujudkan sistem bagi menyediakan penyelesaian konkrit kepada cabaran tersebut,” katanya selepas majlis perasmian MYCEC, di sini, hari ini.
MYCEC merupakan hab imersif pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menganalisis data pencari kerja dan memastikan padanan lebih tepat dengan peluang pekerjaan.
Ia melengkapkan inisiatif sedia ada seperti Career Exploration Programme (CEP), Career Exploration Centre (CEC) dan MYFutureJobs dalam satu ekosistem pencarian kerja bersepadu.
Pada majlis sama, PERKESO turut memeterai memorandum persefahaman dengan RHB Bank bagi memperluas akses MYFutureJobs kepada 618,000 pengguna aktif Kad Debit-i MySiswa RHB.