
BANGI, 2 September – Sejumlah RM5.16 juta wang hasil penipuan berjaya dipulangkan semula kepada mangsa menerusi tindakan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.
- NSRC memulangkan wang mangsa dengan menghentikan peringkat transaksi bagi membanteras penipuan dan membantu pemulihan mangsa.
- Kes bahan eksploitasi seksual kanak-kanak meningkat ketara: 68 pada 2024, 152 tahun lepas, dan 100 lagi hingga pertengahan tahun ini.
- Kerjasama antarabangsa dan AI diperkasa; Ops Cyber Guardian tangkap 69 individu, rampas 498,694 fail digital termasuk 205,000 fail penderaan seksual kanak-kanak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, angka berkenaan bersamaan dengan 65 peratus daripada RM7.94 juta yang disita sepanjang tempoh terbabit.
“Apa yang diharap oleh mangsa? Kita dapat pulangkan balik duit mereka.
“Caranya kita kena menghentikan peringkat transaksi dan itu antara yang kita lakukan melalui NSRC,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebingkasan Siber Antarabangsa ke-6 (CRC 2026).
Datuk Seri Saifuddin juga memaklumkan, Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah turut melaporkan operasi penipuan di Asia Tenggara menjana puluhan bilion dolar setiap tahun, sekali gus menunjukkan ancaman siber semakin serius.
Beliau turut mendedahkan kes bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) meningkat daripada 68 kes pada 2024 kepada 152 kes tahun lepas manakala 100 lagi kes direkodkan sehingga pertengahan tahun ini.
“Sehingga April 2026, Ops Cyber Guardian melalui kerjasama tujuh negara, kita berjaya membawa kepada penahanan 69 individu dan merampas 498,694 fail digital, termasuk 205,000 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak,” katanya.
Selain itu, katanya sehingga 28 Ogos lepas, seramai 746 rakyat Malaysia menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara.
Sehubungan itu, kerajaan dan agensi penguatkuasaan terus memperkasa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam membanteras jenayah siber yang semakin kompleks dan bersifat rentas sempadan.
Jelasnya, ancaman siber kini didalangi sindiket yang turut menggunakan kemajuan teknologi bagi melancarkan kegiatan jenayah berkenaan.