fb fb fb fb fb

RM5,000 kepada pemilik kediaman musnah sepenuhnya, RM2,500 untuk kediaman terjejas sebahagian

Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat lokasi kebakaran di Putra Heights/ Foto PMO

SUBANG JAYA, 1 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tunai RM5,000 bagi pemilik kediaman yang musnah sepenuhnya manakala RM2,500 untuk kediaman terjejas sebahagian, susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, pagi tadi.

Beliau turut meminta jentera kerajaan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengadakan perbincangan bersama wakil penduduk.

"Untuk langkah segera satu, dua hari ini, Petronas, dan kalau perlu Kerajaan Persekutuan, akan lihat keperluan menambah, akan menyediakan bagi rumah-rumah yang rosak sepenuhnya itu diberikan RM5,000 segera supaya mereka dapat belanja sementara. Dan yang terkesan, iaitu 100 lebih lagi (rumah) itu diberi RM2,500," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan kebakaran saluran gas di Putra Heights di sini.

Beliau turut memaklumkan bahawa punca utama kejadian masih dalam siasatan pihak berkaitan dan kerja kerja penyelenggaraan akan terus dilaksanakan sehingga selesai.

Sementara itu bantuan jangka panjang, termasuk pemulihan kawasan perumahan dan kebajikan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) sedang dibincangkan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Petronas.

Perkara itu berikutan proses pemulihan di kawasan tersebut dijangka mengambil masa panjang.

"Keutamaan adalah keselamatan. Pihak bomba, terima kasih kepada seluruh jentera yang bertindak cepat, dan laporan daripada polis pun segera. Kerjasama ini telah membantu Petronas dan Kerajaan Negeri untuk ambil tindakan segera.

"Setakat ini ia terkawal, sebab itu saya pilih untuk pergi sendiri ke tempat itu untuk membuktikan bahawa (keadaan) selamat," katanya.

Ketika ini langkah awal telah diberikan kepada penduduk terkesan termasuk bantuan perubatan dan penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Perdana Menteri ke lokasi kejadian diiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta wakil dari Petronas, polis dan bomba, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI