fb fb fb fb fb

RM46.2 juta untuk Projek Perumahan Rakyat Bagan Datuk

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

BAGAN DATUK, 19 Ogos-Sebanyak 46.2 Juta Ringgit diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pembangunan Projek Perumahan Rakyat di Bagan Datuk, Perak.

Projek berkenaan yang dilaksanakan FELCRA Berhad menerusi anak syarikat FELCRA Sdn. Bhd itu bakal dibangunkan atas tanah kerajaan berkeluasan 19.74 ekar. 

Projek tersebut merangkumi pembinaan 150 unit rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) secara berkembar berkeluasan 660 kaki persegi.

Majlis pecah tanah projek tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi. 

"Kita sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang memberikan peruntukan untuk KKDW bagi membina projek perumahan ini.

"Saya harap kita terima ini sebagai satu anugerah daripada Allah melalui Kementerian Kewangan dan KKDW dan kita gunakanlah peluang ini untuk memajukan kawasan kita, Insya-Allah" katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Simpang Tiga di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata projek tersebut turut menyediakan kemudahan asas seperti dewan terbuka, surau, tadika dan taman permainan.

Ujarnya, projek dijangka siap sepenuhnya Ogos tahun hadapan dan bakal memberi manfaat kepada 750 penduduk sekitar Rungkup, Bagan Datuk.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD