RM41 juta untuk kontraktor G1 hingga G4 di Johor

Foto Facebook Mohd Fazli Mohd Salleh

JOHOR BAHRU, 30 Mac – Sebanyak RM41 juta diperuntukkan kepada kontraktor G1 hingga G4 di Johor sekali gus membuka kira-kira 121 pakej kerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan membuka peluang dan membantu kontraktor kecil berkembang serta kekal berdaya saing.
  • Pelaksanaan syarat tambahan Sijil Kontraktor Johor memastikan manfaat kepada pemain industri tempatan.
  • Kerajaan negeri dan JCCD komited melaksanakan pembangunan inklusif, telus serta menawarkan pakej kerja G1 di beberapa daerah.

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Fazli Mohd Salleh menerusi hantaran Facebook memaklumkan, inisiatif itu dilihat penting dalam membantu kontraktor kecil terus berkembang dan kekal berdaya saing.

“Saya yakin dengan usaha seperti ini bukan sahaja merancakkan sektor pembinaan, malah membuka peluang pekerjaan dan mengukuhkan keupayaan kontraktor Johor untuk terus maju.

“Pelaksanaan syarat tambahan seperti pemilikan Sijil Kontraktor Johor turut memastikan peluang ini benar-benar memberi manfaat kepada pemain industri tempatan.

“Kerajaan negeri akan terus komited memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif, telus dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” menurut hantaran itu.

Dalam pada itu sebanyak 20 pakej kerja khusus untuk kontraktor G1 telah ditawarkan merangkumi daerah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Pontian, Segamat dan Tangkak, dengan nilai keseluruhan sekitar RM2.57 juta.

Menurut Mohd Fazli usaha yang dilakukan Johor Centre for Constuction Develepoment (JCCD) antara usaha berterusan dalam memperkukuh industri pembinaan negeri Johor dengan memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada kontraktor tempatan untuk terlibat secara langsung dalam projek pembangunan.