fb fb fb fb fb

RM400 juta untuk kerja-kerja naik taraf elak banjir di Janda Baik

BENTONG, 12 Mei - Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperuntukkan RM400 juta untuk perancangan jangka panjang mengelak kejadian banjir berulang di Janda Baik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan tebatan banjir.

Bagi perancangan jangka pendek pihak JPS telah bersetuju untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan mendalamkan sungai di daerah itu dalam masa terdekat.

"Kita di peringkat persekutuan kita sudah bincangkan di Jemaah Menteri sebenarnya, perlu ada tindakan jangka pendek dan jangka panjang. Jangka pendek kita perlu dalam kan sungai, tetapi jangka panjang makna secara menyeluruh, tebatan banjir mungkin perlu kolam takungan," kata Mohd Zuki di sini.

(Kejadian banjir kilat di Janda Baik)

Menerusi program itu setiap keluarga menerima bantuan wang tunai RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

Mohd Zuki berkata bantuan tersebut merupakan bantuan segera yang disampaikan sebelum bantuan susulan lain yang akan diberi setelah maklumat lengkap penduduk diterima.

"Kita dah meneliti, hari ni kita datang untuk bantuan segera. Kita belum dapat maklumat tepat tapi kita jangka kan ramai terkesan mungkin banyak peralatan yang rosak dan kita akan beri bantuan seperti biasalah, seperti mana pada mangsa-mangsa banjir sebelum ni. Bantuan barangan keperluan asas dan juga bantuan kerosakan kenderaan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas program pengagihan Bantuan Wang Ihsan kepada 160 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 560 penduduk terjejas banjir kilat di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Insenior Dr. Md Nasir Md Noh, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Insenior Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Tambahnya surau-surau yang terjejas teruk di empat kampung terlibat serta dua buah sekolah tahfiz turut akan dibantu.

Penduduk terjejas turut menerima bantuan tunai RM200 daripada Kerajaan Negeri.

Media Baharu