fb fb fb fb fb

RM300 bantuan untuk peneroka Felda pendapatan kurang RM1,000 - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di MRSM Felda Trolak di Slim River / Foto Bernama

SLIM RIVER, 19 Mac - Kerajaan mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara itu akan disalurkan sebelum perayaan Aidilfitri.

"Peneroka yang berpendapatan RM1,000 kebawah dan peneroka yang berpendapatan RM1,001 dan RM2,000 akan mendapat penangguhan potongan hutang tidak termasuk kos operasi ladang dan semua ini untuk hasil bulan Mac," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut mengumumkan, KKDW telah meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke Pekan Trolak, Muallim tahun lepas dengan kos sebanyak RM35 juta.

Tambah Ahmad Zahid, projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) itu sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada Oktober ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN