LANGKAWI, 8 Jun- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Geran Tabung Bantuan Seni (TBS) telah menyalurkan RM300,000 kepada 18 penggiat seni yang layak sehingga Mei tahun ini.
Sementara itu sebanyak RM1.5 juta peruntukan diberikan kepada penggiat seni yang layak sepanjang tahun lalu.
Menurut Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, geran itu diwujudkan sebagai usaha membantu penggiat seni tempatan dalam menganjurkan program dan aktiviti kesenian yang berkualiti.
Ia sekali gus meningkatkan lagi aktiviti seni berimpak tinggi selain mempromosikan visual dan artis tempatan ke serata dunia.
"Kebanyakannya adalah daripada pelukis. Pelukis ini banyak kategori sama ada pelukis muda atau pelukis senior. Tetapi yang paling penting adalah cadangan yang dihantar.
"Ia akan dipertimbangkan terutama sekali untuk menyertai pendedahan program kesenian peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita dalam majlis perasmikan pembukaan semula Balai Seni Negara Langkawi, di sini.
Untuk rekod seramai 42 penggiat seni telah menerima geran TBS dari tahun 2022 hingga kini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.4 juta.
Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman di Dayang Walk di sini.
Balai Seni Negara Langkawi ditutup selama enam bulan bagi kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian galeri.
Ia termasuk pembesaran ruang pameran gabungan daripada tiga lot kepada lima lot yang lengkap dengan fasiliti dan kemudahan.