fb fb fb fb fb

RM29 juta untuk naik taraf Tabika daif

FOTO HIASAN

GUA MUSANG, 20 Februari - Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) yang daif akan dinaik taraf tahun ini dengan peruntukan hampir RM29 juta, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Katanya, ia merupakan usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kewangan dalam menyediakan prasarana pendidikan awal yang selesa dan kondusif di seluruh negara.

"Peruntukan tersebut merupakan peningkatan tiga kali ganda berbanding RM9.5 juta pada 2023.

"Kerja-kerja naik taraf akan dibuat secara berperingkat," kata Ahmad Kamal kepada media selepas Majlis Apresiasi Kakitangan KEMAS Gua Musang di Dewan Datuk Ariffin Said di Ibu Pejabat Kesedar, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut Ahmad Kamal Idris berkata peruntukan itu telah diserahkan kepada pejabat KEMAS negeri masing-masing.

Selain itu beliau berkata sebanyak 4,147 tabika di seluruh negara akan melaksanakan program Pra Tahfiz tahun ini.

Program terbabit katanya merupakan kerjasama KEMAS dengan Yayasan Pahang yang bertindak menyediakan latihan mengajar serta kaedah dan teknik hafazan kepada jurulatih utama tabika.

"Sebanyak 42 siri kursus akan diadakan secara berperingkat malah pada dua minggu lepas sesi libat urus dan latihan kepada jurulatih utama telah dijalankan.

"Untuk peringkat awal ini kita memfokuskan tabika yang mempunyai guru dan murid yang majoritinya beragama Islam. Menjelang April nanti kita akan melaksanakan program Pra Tahfiz di tabika-tabika ini," katanya.

Ahmad Kamal Idris berkata KEMAS juga tidak meminggirkan 287 tabika anak-anak masyarakat Orang Asli, justeru pendekatan yang sama akan dilaksanakan dan akan turut melibatkan tabika di seluruh negara pada tahun hadapan.

TETITIA YUSOFF