
PARLIMEN, 26 Januari – Kerajaan memperuntukkan RM242 juta bagi menaik taraf Sistem Amaran Awal (EWS) bencana berkaitan cuaca, gempa bumi dan tsunami melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
- Peruntukan RM242 juta untuk menaik taraf Sistem Amaran Awal bencana berkaitan cuaca, gempa bumi dan tsunami.
- Termasuk projek peningkatan sistem ramalan, pembinaan radar cuaca dan RM18 juta untuk pembangunan SAATNM.
- Peningkatan teknologi: RaINS, HPC, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin bagi ramalan sehingga 14 hari.
- Penyampaian amaran diperkukuh melalui SMS, myCuaca, laman web, media sosial, radio dan televisyen; masa hebahan gempa/tsunami disasar 6 minit.
Langkah itu bertujuan memastikan makluman ancaman dapat disampaikan secara pantas, tepat dan menyeluruh termasuk ke kawasan luar bandar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, peruntukan itu merangkumi projek peningkatan sistem ramalan serta pembinaan radar cuaca, selain RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM).
“Bagi menaik taraf Sistem Amaran Awal Cuaca, Kerajaan telah memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak RM242 juta yang merangkumi pelaksanaan beberapa projek peningkatan sistem ramalan serta pembinaan radar cuaca.
“Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM18 juta di bawah RMK13 bagi pembangunan SAATNM,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) di Dewan Rakyat hari ini.
Arthur Joseph berkata MET Malaysia terus memperkukuh keupayaan ramalan cuaca melalui penambahbaikan Radar Integrated Nowcasting System (RaINS) yang mengintegrasikan rangkaian radar dan model ramalan berangka bagi menghasilkan unjuran pergerakan serta intensiti hujan secara hampir masa nyata.
Menurutnya, penggunaan teknologi Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (High Performance Computing, HPC), kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin turut membolehkan ramalan cuaca sehingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi lebih tinggi.
Selain itu, beliau berkata penyampaian amaran turut diperkukuh melalui pelbagai saluran termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi myCuaca, laman web, media sosial serta siaran radio dan televisyen.
Bermula tahun ini, tempoh hebahan gempa bumi dan tsunami disasarkan dapat dipercepatkan daripada lapan kepada enam minit, manakala ketepatan ramalan cuaca ditingkatkan kepada 85 peratus.