fb fb fb fb fb

RM20 juta untuk lahirkan 100,000 hufaz cilik

FOTO RTM

KEMAMAN, 30 November- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerima peruntukan RM20 juta bagi program pra tahfiz di seluruh negara.

Ia dalam usaha melahirkan 100,000 anak-anak hufaz menjelang 2026.

Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata projek rintis pra tahfiz telah bermula awal tahun ini melibatkan 100 kelas seluruh negara.

Menurut Ahmad Kamal, pelaksanaan program terbabit akan dimulakan sepenuhnya tahun hadapan membabitkan 4,000 kelas.

Daripada jumlah berkenaan, 450 kelas adalah di Terengganu.

"Kaedah program ini disesuaikan dengan anak-anak tabika yang berumur lima dan enam tahun berkonsepkan 'Fun Learning'.

"Maknanya kanak-kanak ini menghafaz dengan cara nyanyian dan bermain. Menerusi kaedah ini, kanak-kanak berkenaan boleh menguasai dan menghafal", kata Ahmad Kamal yang ditemui selepas program 'Jom Masuk Kampung KEMAS daerah Kemaman di Tabika KEMAS Kampung Batu 9 Ibok, di sini.

Ahmad Kamal sempat meluangkan masa menyertai gotong royong memasak laksa gebok untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.

Pada program itu juga Pengarah KEMAS Terengganu Dr Faridah Mat menyerahkan sumbangan tabung Palestin bernilai RM74,863 kepada Datuk Ahmad Kamal.

Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan guru ibu bapa dan kakitangan KEMAS yang dilancarkan empat hari lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD