fb fb fb fb fb

RM189 bilion disalur kepada pengurus dana luaran sehingga akhir 2023- KWSP

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 26 Mei- Barisan pengurus dana luaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghasilkan pulangan yang baik tahun lepas dengan mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi, kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan pendapatan dana itu walaupun menghadapi pasaran yang tidak menentu dan mencabar.

KWSP menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan sehingga 31 Disember 2023, sebanyak RM189 bilion telah disalurkan kepada pengurus dana luaran untuk dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, yang mewakili 17 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata jumlah dana yang diurus oleh pengurus ekuiti dan pendapatan tetap luaran telah meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM189 bilion berbanding lima tahun lepas.

“Selain daripada memaksimumkan pulangan risiko terlaras peringkat portfolionya, KWSP juga berusaha untuk memperkasa semua syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Dedikasi mereka untuk menghasilkan nilai yang berkekalan telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dalam memberikan pulangan yang mampan di samping melindungi kesejahteraan persaraan ahli,” katanya dalam kenyataan yang sama.

KWSP juga mengumumkan 11 pemenang di Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP 2023 sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang barisan pengurus dana luarannya mengikut mandat masing-masing yang dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.

Sementara itu, Pengurus Dana Ekuiti Global KWSP Terbaik 2023 dan Pengurus Dana Luaran KWSP Terbaik 2023 diraih oleh Amundi.

KWSP menjelaskan bagi tahun kewangan berakhir 2023, pihaknya telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.50 peratus dengan agihan RM50.33 bilion untuk Simpanan Konvensional; dan 5.40 peratus dengan agihan RM7.48 bilion untuk Simpanan Shariah.

Secara kumulatif, jumlah agihan untuk 2023 ialah RM57.81 bilion.

Ahmad Badri berkata pencapaian itu turut disumbang oleh pempelbagaian yang dilaksanakan pengurus dana dalam kelas aset, pasaran dan mata wang berbeza yang membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap turun naik pasaran serta melindungi pulangan pelaburannya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE