JASIN, 4 Julai - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan projek mengurangkan risiko banjir di Kampung Lubok Kasau, Bemban.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek jangka sederhana itu akan bermula pada 1 Ogos depan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan November.
Antara yang akan dilaksanakan termasuk kerja-kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing, serta meninggikan ban sungai sepanjang 2.2 kilometer di kawasan terjejas.
Inisiatif itui dijangka memanfaatkan kira-kira 60 buah rumah yang sering dilanda banjir, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan harta benda penduduk.
"Ini adalah merupakan satu projek fizikal kita laksanakan untuk membendung limpahan air masuk ke kawasan penempatan penduduk. Kita akan kemukakan rancangan jangka panjang apabila JPS sudah terima satu penilaian terperinci, langkah-langkah yang boleh diambil bagi membantu penduduk," katanya.
Datuk Seri Ab Rauf bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan berkenaan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Bemban, di sini.