fb fb fb fb fb

Riwayat pengasas silat cekak, Ustaz Hanafi Ahmad bakal difilemkan

Pengasas silat Cekak, Allahyarham Ustaz Hanafi Ahmad

KUALA LUMPUR, 6 Ogos- Riwayat dan falsafah tokoh seni silat cekak, Allahyarham Ustaz Hanafi Ahmad diberi pengiktirafan untuk difilemkan.

Filem tersebut bakal mengetengahkan tema penceritaan berkait jasa beliau dalam perubahan dalam dunia persilatan Melayu, kerohanian serta tokoh yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Menurut jurucakap Yayasan Ustaz Hanafi Ahmad (YUHA), kos bagi pembikinan filem itu mencecah RM8 juta, dengan barisan pelakon serta pengarah projek akan diumumkan pada Oktober depan.

"Yayasan Ustaz Hanafi Ahmad (YUHA) akan bekerjasama dengan United Nine Creative Sdn Bhd yang merupakan penerbit filem bertema keadilan, keberanian dan pengorbanan tersebut dengan matlamat untuk menyumbang kepada pembentukan sahsiah terpuji rakyat Malaysia seiring dengan tema kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka," kata jurucakap itu.

YUHA turut menyasarkan perancangan bagi tayangan filem tersebut adalah pada tahun 2025, sempena sambutan ulang tahun ke-60 silat Cekak Hanafi.

“Filem ini juga akan mengangkat tema nilai-nilai murni dunia persilatan serta keunikan dan kehebatan seni bela diri Melayu yang setara dengan seni bela diri lain."

“Apa yang menarik, kemungkinan filem ini akan memuatkan sedikit adegan menceritakan begaimana penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam seni Silat Cekak ketika zaman mudanya dan perhubungannya dengan Ustaz Hanafi,” jelas jurucakap YUHA.

Justeru, satu majlis memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran dokumen telah diadakan antara YUHA dan United Nine Creative Sabtu lepas bersempena sambutan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi 1446H/2024 di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, Butterworth.

Pertukaran dokumen kerjasama untuk penerbitan filem itu diwakili oleh Pengarah Urusan United Nine Creative, Datuk Mohd Rosdi Shair dan Ketua Pegawai Eksekutif YUHA, SR Roslan Manap.

Turut hadir menyaksikan memorandum itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia cawangan Pulau Pinang, Jonathan Freddy P. Bagang selaku wakil rasmi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Guru Utama Silat Cekak Pusaka Hanafi merangkap Pengerusi YUHA, Md Radzi Hanafi dan ahli Lembaga Pemegang Amanah YUHA, Aminudin Dahlan.

Asal usul silat cekak adalah persilatan yang pernah diamalkan oleh panglima kanan kerajaan Kedah di zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II seperti Panglima Ismail dan Panglima Tok Rashid.

Ustaz Hanafi dilahirkan pada 1923 di Kedah, mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Gunung, Alor Setar sebelum menyambung pengajian agamanya dengan beberapa orang ulama di negeri itu.

Ustaz Hanafi turut pernah mengembara ke seluruh negara termasuk selatan Thailand untuk mencari ilmu dalam dunia seni bela diri, sehingga terpaksa menempuh pelbagai kesusahan dan rintangan.

Ustaz Hanafi meninggal dunia pada 13 Ogos 1986, meninggalkan seorang balu, Maimunah Hj. Othman dan enam orang anak.

Legasi perjuangan silat cekak kini diteruskan oleh anaknya, Md Radzi Hanafi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM