fb fb fb fb fb

Riuh x ASEAN hangatkan Kuala Lumpur dengan semangat kreatif serantau

Foto RTM

KUALA LUMPUR 2 OKTOBER - Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan apabila agensi berasaskan ASEAN melalui RIUH x ASEAN menghimpunkan komuniti kreatif dari seluruh rantau ini menerusi penganjuran siri program seni dan budaya mulai 17 Oktober hingga 2 November 2025.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, penganjuran ini bertujuan memperkukuh jalinan antara penggiat kreatif ASEAN dan memperkenalkan jenama Malaysia ke peringkat serantau.

Beliau berkata, pelbagai acara diadakan di beberapa lokasi utama sekitar ibu negara termasuk di Stadium Merdeka, GMBB, Tungsing Terrace, dan Tarian dengan kerjasama myCreative Ventures serta sokongan Merdeka 118 sebagai penaja lokasi dan QSR Brands sebagai penaja utama.

“Antara tarikan utama adalah RiuhXASEAN Marketplace yang berlangsung di Stadium Merdeka dari 24 hingga 26 Oktober, bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam di mana program ini menampilkan gaya hidup, hospitaliti, serta juadah tempatan dan antarabangsa dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Myanmar dan Vietnam.

“Selain itu, program FrequenSea ASEAN Music Conference turut menghimpunkan pemuzik tempatan, serantau dan antarabangsa di GMBB pada 21 dan 22 Oktober dan ia menjadi platform perkongsian idea serta pandangan antara artis dari ASEAN dan Amerika Syarikat", katanya.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan orang ramai khususnya pencinta seni untuk menghadiri pameran karya seni yang berlangsung sehingga 31 Oktober ini yang mengetengahkan hasil tangan pelukis muda dan senior tempatan berinspirasikan identiti Malaysia serta ASEAN.

Tambahnya, penganjuran ini dapat memperkukuh semangat kekitaan serantau dan membuka peluang baharu kepada penggiat industri kreatif untuk menembusi pasaran ASEAN.

Trainee