KUCHING, 25 Julai - Kembara RIUH OOHA! bersama Mobile Legends: Bang Bang, edisi ke-6 akan berlangsung di tempat letak kereta, Stadium Negeri, Petra Jaya di sini pada Jumaat hingga Ahad ini.
Kembara RIUH yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Kumpulan MyCreative Ventures bertujuan untuk merancakkan ekonomi kreatif dengan mencipta peluang pekerjaan bagi artis dan usahawan tempatan, memupuk ekosistem kreatif serta melonjakkan semangat keusahawanan.
Sejak 2022, acara itu telah menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan serta memberi impak kepada lebih 4,000 artis dan industri kreatif tempatan serta menjana jualan usahawan kreatif mencecah RM3 juta.
Inisiatif ini juga meningkatkan nilai industri, mempromosikan produk tempatan dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Kolaborasi MLBB sebuah permainan Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) yang berkembang pesat di Malaysia, Indonesia dan Filipina pastinya akan menarik lebih ramai peminat permainan dalam talian untuk memeriahkan lagi Kembara RIUH kali ini.
Turut ditampilkan pada kembara kali ini ialah selebriti tempatan seperti Ella, Noh, Insomniacs, Midnight Fusic serta artis tempatan Sarawak.
Selain muzik, bengkel seni dan aktiviti interaktif, terdapat juga vendor menjual makanan serta barangan unik.