
LABUAN, 13 Februari – Rithuan Mohd Ismail dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Labuan (PL) baharu, berkuat kuasa 16 Februari ini.
- Rithuan sebelum ini Pengarah Tugas-Tugas Khas di Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.
- Pengerusi PL menggesa pengukuhan pengurusan, pentadbiran dan peningkatan perkhidmatan selari digitalisasi.
- Kestabilan dan perpaduan organisasi ditekankan sebagai tunjang kemajuan PL dan relevansi PBT Labuan.
- Majlis penyerahan Nota Serahan Tugas CEO diadakan dengan kehadiran ahli lembaga pengurusan dan kakitangan PL.
Beliau menggantikan Mohd Sukuran Taib yang akan meneruskan perkhidmatan dalam sektor kerajaan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Rithuan, 58 tahun, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Tugas-Tugas Khas di Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.
Pengerusi PL, Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh berkata PL perlu terus memperkukuhkan pengurusan dan pentadbiran dengan meningkatkan perkhidmatan yang baik seiring dengan era digitalisasi.
“Kestabilan dan perpaduan organisasi mesti kekal sebagai tunjang kemajuan organisasi bagi memastikan PL kekal relevan sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) Labuan,” katanya di sini.
Majlis penyerahan Nota Serahan Tugas CEO PL itu diadakan di salah sebuah restoran di sini dengan disaksikan oleh Pengerusi PL.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi PL, Simsudin Sidek, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL, Fadzilah Mahmud, pengarah-pengarah bahagian dan pegawai serta kakitangan PL.